Entah
kenapa hatiku gelisah, berdebar kencang dari pagi tadi. Adakah kerana
pembentangan hari ini? Mr West mahu aku ikut serta dalam RGM (Mesyuarat Bulanan
General Manager) kali ini. Katanya agar aku pun turut mendapat kredit atas
usaha keras kami selama ini. Projek dua tahun ini mendapat perhatian
CEO. Usai dhuha, aku menarik nafas panjang. Ku panjatkan doa pada Ilahi
agar tenang hati ini.
Bilik Mesyuarat Pluto
"Macam mana Umar?", tanya Pengurus Operasi kami. Mataku
alihkan kepada lelaki itu. Terpaku aku. Subhanallah. Sosok tubuhnya benar-benar
mirip dengan bayang lelaki yang kulihat dalam istikharahku kelmarin.
Pandangan
mata kami bertemu. Senyum. Serentak itu, hatiku tenang, bagai semilir angin
yang lalu. Allah Allah.
"Mungkinkah dia imamku?" Bisik hatiku penuh debar.
7 hari.
"Diba, awak tolong jumpa Umar. Dapatkan
pandangan dia tentang paten komunikasi pekerja indonesia di sini."
"Erkk.. " Aku terkedu. Ya Allah, dekatkanlah dia
padaku jika benar dia jodohku. Pada usia 32 tahun ini, hanya tawakal penguat
semangatku. Aku yakin, pada ketika dan orang yang tepat, Allah pasti akan
menjawab doaku.
Umar
Budiharto. Itulah namanya. Baru ku tahu, dia itu berasal dari Bekasi , Indonesia . Cuma
aku masih tak pasti apakah status dirinya. Selama ini tekadku, tak mungkin aku
menjadi pemusnah kebahagiaan wanita lain.
Mengenalinya,
aku rasa bagaikan sudah kenal lama. Tak sukar untuk mencari keserasian antara
kami. Dia seperti aku, gilakan fotografi dan seni. Kami sering outing bersama
teman-teman Kelab Fotografi. Dia buat aku selesa ,kerana solat tetap di jaga.
Pesanannya selalu, mulakan walau sekecil apa pun kerja dengan Bismillah.
Masakan tidak, tiga tahun di pesantren telah membentuk dirinya. Malah, sama
seperti aku, dia juga memasang hajat membawa bonda dan ayahanda tercinta
menunaikan manasik Haji.
Betapa
sempurnanya lelaki ini di mataku. Hingga kini, soalan yang satu itu cuba
kumatikan dalam benakku. Aku takut dengan jawapannya. Setelah rasa cinta ini
membuak di dada, adakah mampu aku bertahan andai dia terhempas begitu
sahaja.
7 minggu
Telahanku
benar. Sudah lima
tahun dia berkahwin, tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun tak pernah
sekali pun dia mengatakan yang buruk tentang Kak Ayu, isterinya. Betapa
bertuahnya kau kak. Oleh kerana tiada pelepasan majikan, Kak Ayu masih di
Bekasi. Terpempan aku saat dia menyuarakan hasrat untuk mempertemukan aku
dengan KakAyu. Adakah tega aku bertentang mata dengannya. Wanita yang bakal ku
rampas separuh dari jiwanya. Pujukan Umar meyakinkan aku untuk bertemu. Ku
salam dan ku cium tangan wanita itu. Dia tersenyum . Rupanya banyak yang telah
Umar ceritakan tentang aku. Selepas berbasa basi, kak Ayu memulakan bicara.
"Akak rela berkongsi kasih. Mungkin ini
cara Allah memberi rahmatNya.'
Sunyi.
Haruskah
aku gembira. Aku tak pasti. Antara prinsip dengan cinta dalam hati. Lama diam
itu pengisi sunyi. Masing-masing dalam fikiran sendiri. Ku renung lembut wajah
kak Ayu. Tulus wajahnya , setulus hatinya. Hujan di hatiku makin sarat. Dan
entah dari mana datangnya kekuatan itu.
"Maafkan saya kak. Saya tidak pasti yang
saya mampu ikhlas berkongsi kasih dengan akak. Apa mungkin memang Umar
dijadikan sebagai pembela wanita, yang mampu menyebarkan cintanya buat kita
berdua, itupun saya tak pasti. Berilah saya peluang untuk mencari ketenangan
hati dan kekuatan diri. Mungkin ada baiknya kita tangguhkan dulu soal ini.
Andai memang ini suratanNya."
Kaki
terus ku bawa lari keluar dari KLCC. Empang air mata yang kutahan dari tadi,
pecah akhirnya .
"Ya Allah. Aku tidak tahu , ya Allah...
Tiada satu pun rahsia Mu dalam pengetahuanku. "
Makkah, 17 Ramadhan 1433H
Selesai
sudah tawaf sunat ku. Aku menghela nafas. Alhamdulillah. Masih sudi Kau
menerima aku sebagai tetamu Mu. Aku kembali pada Mu ya Allah. Ampunkan aku
kerna selalu mencari cinta lain selain Engkau. Malunya aku. Kutundukkan wajahku
, lalu bersujud. Aku redha atas segala ketentuanmu. Terimalah taubatku. Air
mataku bercucuran. Hanya pada Tuhan Kaabah ini aku meratap. Biarlah kukhabarkan
cintaku hanya padaNya.
'"Assalamualaikum Diba". Ku seka airmataku. Saat ku angkat
wajahku, ku lihat dia. Ya, dialah lelaki itu. Dialah imamku. Terima kasih Allah